HUBUNGI KAMI:

UMNO Bahagian Kuala Kedah
Tingkat 3, Bangunan UMNO, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Telefon: +604-7301710 Faks: +604-7301699
E-mail:
kualakedah.umno@gmail.com
ketua.penerangan.ubkk@gmail.com

Monday, December 29, 2008

Perjumpaan Pemuda Bahagian Kuala Kedah Bersama Media Untuk Menangani Masalah Mangsa Kebakaran di Kuala Kedah

Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah akan mengadakan perjumpaan khas dengan pihak media massa termasuk TV1 dan TV3 dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mangsa kebakaran di Kuala Kedah pada hari ini jam 2 petang bertempat di tempat penempatan sementara.
Hingga kini, telah lebih 8 hari peristiwa sedih yang telah menyebabkan 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang melanda 5 buah rumah di Kuala Kedah. Mereka ini amat terdesak dan memerlukan bantuan daripada pihak yang berwajib.
Pihak UMNO Bahagian Kuala Kedah dengan bantuan Pemuda , Puteri dan Wanita telah mengambil inisiatif sebelum ini untuk memberi bantuan kewangan, bekalan makanan, pakaian sekolah dan pakaian terpakai, pakaian dalam dan tilam serta pelbagai barang keperluan lain.
Tuan Setiausaha UMNO Bahagian (Tuan Hj. Ahmad) bersama Ketua Biro Kebajikan (Dr Razif) dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian telah berusaha keras untuk mendapatkan penempatan khas untuk bencana di Flat Gemilang yang terletak di kawasan Mergong. Menurut Tuan Setiausaha, sekiranya UMNO menguasai kerajaan, ia merupakan satu masalah kecil yang boleh diatasi dengan segera.
Malangnya, pihak UMNO difahamkan kuasa untuk memberi kediaman tersebut berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri yang sekarang diketuai oleh Pakatan Rakyat dan pihak Kerajaan Persekutuan pula tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bertindak.
Apa yang boleh ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada mereka yang layak ialah bantuan membina rumah sebanyak RM 33,000 kepada setiap keluarga tetapi dengan syarat mempunyai tanah sendiri atau dibenarkan secara bertulis oleh pemilik tanah. Walau bagaimanapun , tiada dalam kalangan mangsa yang mempunyai tanah untuk tujuan tersebut.
Sebenarnya mangsa sebelum ini telah ditabur dengan pelbagai janji oleh pihak Pakatan Rakyat namun hingga kini janji masih tinggal janji. ADUN Kubang Rotan (YB Nasir) dan Ahli Parlimen (Hj. Ahmad) masih membisu seribu bahasa , begitu juga anggota Exco Kerajaan Negeri yang lain. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri juga masih belum berkesempatan melawat kawasan tersebut walaupun telah lebih seminggu kejadian berlaku. Apakah kerana kebanyakan mangsa merupakan penyokong UMNO menyebabkan usaha yang dijalankan hanya sekadar sambil lewa sahaja?
Justeru itu , bagi mengelak masalah ini daripada berlarutan, pihak PEMUDA dengan restu daripada Ketua Bahagian, telah mengambil tindakan untuk mengadakan perjumpaan dengan media bagi memberi peluang kepada mangsa kebakaran untuk meluahkan perasaan yang terpendam di jiwa mereka.
Marilah kita beramai-ramai berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan segera, Insya Allah.