HUBUNGI KAMI:

UMNO Bahagian Kuala Kedah
Tingkat 3, Bangunan UMNO, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Telefon: +604-7301710 Faks: +604-7301699
E-mail:
kualakedah.umno@gmail.com
ketua.penerangan.ubkk@gmail.com

Wednesday, December 31, 2008

Pembelaan Pemuda UMNO Kuala Kedah Dapat Perhatian Media


Tindakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah memanggil sidang media pada 29/12/2008 mendapat respons yang positif. Hampir semua akhbar berbahasa Melayu menyiarkan berita tersebut termasuk KOSMO, SINAR, METRO dan Utusan Malaysia pada 30/12/2008. TV3 juga menyiarkannya pada Buletin 1.30 pada hari yang sama. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat...

Monday, December 29, 2008

Artikel Tulisan Pemuda UMNO dalam Berita Harian 29/12/08

Biro Penerangan telah dimaklumkan mengenai satu artikel yang ditulis oleh salah seorang ahli Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah. Ia boleh dibaca di alamat ini http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20081228230346/Article/index_html
atau di bawah :
Tahniah....

Pas ketepi prinsip perjuangan

PERNYATAAN bahawa hudud bukanlah keutamaan oleh Ketua Dewan ulama Pas, Datuk Mohamad Daud jelas membuktikan Pas bukanlah sebuah parti Islam yang sebenar-benarnya. Pas sanggup mengetepikan prinsip perjuangannya, iaitu Islam semata-mata untuk memastikan mereka akan terus diberikan peluang oleh DAP untuk berkongsi pemerintahan, hatta sebagai boneka sekalipun. Pada Pilihan Raya Ke-12 yang lalu, Pas sanggup menggadaikan prinsip perjuangan yang sudah lama dilaungkan oleh mereka semata-mata untuk menjaga hati DAP agar DAP menerima Pas sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat.
Dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu, Pas mendendangkan Islam adalah asas kepada perjuangan mereka tetapi ketika pilihan raya umum Mac lalu, Pas menyanyikan lagu baru berirama 'Negara Berkebajikan' demi memenuhi halwa telinga DAP. Kini dalam usaha Pas untuk memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Pas cuba mengaburi minda orang Melayu dengan menyanyikan semula lagu berunsurkan keIslaman. Hukum hudud dan qisas kedengaran kembali di merata ceruk Kuala Terengganu. Malangnya sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak menyetujui hasrat Pas. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berbelah- bahagi untuk menyatakan pendirian mereka terhadap isu hukum hudud dan qisas dendangan Pas.
Pakatan Rakyat bergoncang seketika sehingga memaksa Ketua Dewan Ulama Pas membuat kenyataan 'Hudud bukanlah keutamaan' yang dilihat sebagai cubaan untuk mengendurkan suasana tegang itu. Pas mungkin akan mendapat kembali sokongan DAP. Pemimpin Pas mungkin terus selamat menganggotai 'kabinet Pakatan Rakyat', tetapi malang sekali lagi prinsip perjuangan Islam Pas terpaksa dikorbankan.
NORHISYAM MOHAMAD, Pemuda Umno, Kuala Kedah.

Pemuda UMNO Kuala Kedah Membela Mangsa Kebakaran - Sidang Media

Layari facebook untuk lebih banyak gambar mengenai program ini.

Perjumpaan Pemuda Bahagian Kuala Kedah Bersama Media Untuk Menangani Masalah Mangsa Kebakaran di Kuala Kedah

Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah akan mengadakan perjumpaan khas dengan pihak media massa termasuk TV1 dan TV3 dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh mangsa kebakaran di Kuala Kedah pada hari ini jam 2 petang bertempat di tempat penempatan sementara.
Hingga kini, telah lebih 8 hari peristiwa sedih yang telah menyebabkan 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang melanda 5 buah rumah di Kuala Kedah. Mereka ini amat terdesak dan memerlukan bantuan daripada pihak yang berwajib.
Pihak UMNO Bahagian Kuala Kedah dengan bantuan Pemuda , Puteri dan Wanita telah mengambil inisiatif sebelum ini untuk memberi bantuan kewangan, bekalan makanan, pakaian sekolah dan pakaian terpakai, pakaian dalam dan tilam serta pelbagai barang keperluan lain.
Tuan Setiausaha UMNO Bahagian (Tuan Hj. Ahmad) bersama Ketua Biro Kebajikan (Dr Razif) dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian telah berusaha keras untuk mendapatkan penempatan khas untuk bencana di Flat Gemilang yang terletak di kawasan Mergong. Menurut Tuan Setiausaha, sekiranya UMNO menguasai kerajaan, ia merupakan satu masalah kecil yang boleh diatasi dengan segera.
Malangnya, pihak UMNO difahamkan kuasa untuk memberi kediaman tersebut berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri yang sekarang diketuai oleh Pakatan Rakyat dan pihak Kerajaan Persekutuan pula tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bertindak.
Apa yang boleh ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada mereka yang layak ialah bantuan membina rumah sebanyak RM 33,000 kepada setiap keluarga tetapi dengan syarat mempunyai tanah sendiri atau dibenarkan secara bertulis oleh pemilik tanah. Walau bagaimanapun , tiada dalam kalangan mangsa yang mempunyai tanah untuk tujuan tersebut.
Sebenarnya mangsa sebelum ini telah ditabur dengan pelbagai janji oleh pihak Pakatan Rakyat namun hingga kini janji masih tinggal janji. ADUN Kubang Rotan (YB Nasir) dan Ahli Parlimen (Hj. Ahmad) masih membisu seribu bahasa , begitu juga anggota Exco Kerajaan Negeri yang lain. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri juga masih belum berkesempatan melawat kawasan tersebut walaupun telah lebih seminggu kejadian berlaku. Apakah kerana kebanyakan mangsa merupakan penyokong UMNO menyebabkan usaha yang dijalankan hanya sekadar sambil lewa sahaja?
Justeru itu , bagi mengelak masalah ini daripada berlarutan, pihak PEMUDA dengan restu daripada Ketua Bahagian, telah mengambil tindakan untuk mengadakan perjumpaan dengan media bagi memberi peluang kepada mangsa kebakaran untuk meluahkan perasaan yang terpendam di jiwa mereka.
Marilah kita beramai-ramai berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan segera, Insya Allah.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430

Dato' Latt dan semua AJK Bahagian UMNO Kuala Kedah ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1430 dan semoga kedatangan tahun baru akan dapat membuka lembaran baru dalam UMNO khususnya di Bahagian Kuala Kedah ini.
Marilah sama kita bersatu kembali dan berpadu tenaga demi menjamin kekuatan dan kejayaan Agama, Bangsa & Negara.
Buangkanlah yang keruh dan ambil yang jernih. Hapuskan dan jauhkan segala hasad dengki dan persengketaan sesama kita. Marilah kita berganding bahu membina semula kekuatan ummah. Berat sama dipikul , ringan sama dijinjing. Janganlah kita hanya menang sorak tapi kampung tergadai. Maruah bangsa harus dijaga. Fikirkanlah anak cucu kita yang akan merana dan kecewa jika kita masih terus bersengketa hingga menyebabkan kita kehilangan semuanya.
Mulakan tahun baru ini dengan azam untuk memperbaiki diri , keluarga dan masyarakat. Berdoalah juga semoga segala usaha dan perbuatan kita mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.

Friday, December 26, 2008

Puteri UMNO Beri Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran di Kuala Kedah

Biro Penerangan telah dimaklumkan bahawa Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah telah memberi sumbangan berupa pakaian dalam kepada mangsa kebakaran di sini pada 23/12/2008.
Menurut Ketuanya (Puan Tanti Yusnita), adalah lebih sesuai untuk mereka diberikan sumbangan pakaian dalam yang baru dan bukan yang telah digunakan.
Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diberikan bila pihak biro menerima laporan penuh mengenai majlis tersebut, Insya Allah.

Thursday, December 25, 2008

Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat di Masjid Putera, Seberang Nyonya, Kuala Kedah 25/12/2008

Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat telah diadakan dengan jayanya di Masjid Putera Seberang Nyonya, Kuala Kedah sebentar tadi . Hampir 200 orang telah hadir ke majlis tersebut.

Tuan Imam dalam ucapannya telah mengingatkan semua jemaah bahawa setiap bala yang diturunkan oleh Allah SWT dapat mengingatkan kita kembali kepada kekuasaanNya. Semua orang tidak mahu ditimpa bala bencana. Namun bagi setiap apa yang berlaku, sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ada rahmat yang lebih baik yang akan diberikan kepada mereka selepas ini. Jadi apa yang penting ialah kita sentiasa bersyukur di atas setiap nikmat yang diterima, sentiasa patuh kepada suruhanNya dan sentiasa berdoa agar hidup kita mendapat keberkatan dan keredhaan daripadaNya.

Ramai daripada AJK Bahagian telah turut bersama-sama ke majlis termasuk Y.Bhg. Dato Jamil (Timbalan Ketua Bahagian), Tuan Hj Muthalib (Naib Ketua Bahagian), Tuan Haji Ahmad Haji Shafie (Setiausaha UMNO Bahagian), Dr Razif (Bendahari), Puan Tanti (Ketua Puteri), dan ramai lagi ahli bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita.

UMNO Bahagian ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato Latt (Ketua Bahagian) kerana telah memberi sokongan kepada program ini. Terima kasih juga harus diberikan kepada Tuan Setiausaha (Hj Ahmad) kerana telah bertungkus lumus bagi memastikan program ini menjadi satu realiti. Begitu juga sumbangan masa dan tenaga daripada semua ahli UMNO yang lain. Semoga usaha anda semua diberkati Allah SWT, Insya Allah.

Wednesday, December 24, 2008

Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat

UMNO Bahagian Kuala Kedah akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat di Masjid Putera Seberang Nyonya, Kuala Kedah pada 25 Disember 2008 bermula jam 7 malam. Tujuan utama ialah untuk melahirkan rasa kesyukuran kerana tidak ada nyawa yang terkorban dalam kebakaran yang berlaku baru-baru ini. Disamping itu, ia juga bertujuan memohon doa kepada Allah SWT agar dijauhkan dari segala bala bencana di masa akan datang.
Semua AJK , ahli dan seluruh warga Kuala Kedah dijemput hadir

Tuesday, December 23, 2008

Takdir Tuhan Yang Maha Esa


Seluruh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Kedah berasa cukup sedih dan bersimpati di atas kejadian yang telah menimpa 26 orang mangsa kebakaran yang telah berlaku di Kuala Kedah pada malam 21/12/2008 yang lalu.
Pihak UMNO Bahagian berikrar untuk memberi seberapa banyak bantuan yang perlu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa. Dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ada menyediakan khidmat kaunseling khususnya kepada mereka yang mengalami kesan trauma yang akibat kejadian tersebut. Pihak Biro Penerangan bagaimanapun telah menyatakan kesediaan untuk membantu jika terdapat kes yang lebih serius dan memerlukan kepakaran khususnya di dalam bidang perubatan jiwa.

Peristiwa seperti ini seharusnya menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Rezeki , malapetaka, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan. Mungkin kita boleh bersimpati kepada mereka. Namun seperti kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Apa yang lebih penting sekarang ialah kita perlu menunaikan tanggung jawab sebagai seorang muslim dan mukmin . Hulurkanlah bantuan kepada mereka setakat yang mampu.
Ini hari mereka, entah esok lusa mungkin kita pula yang memerlukan bantuan.

Kepada mereka yang terlibat, anggaplah ia suratan takdir. Jangan sekali-kali kita menyalahkan atau membenci Tuhan jika sesuatu bencana menimpa. Bersabarlah dan bersyukurlah. Sekurang-kurangnya tiada nyawa yang terkorban. Harta boleh dicari dan boleh diganti.

Mungkin ini adalah satu dugaan daripada Allah Yang Maha Esa untuk menguji kesabaran makhluk ciptaannya. Siapa tahu, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang telah terjadi . Mungkin juga Tuhan akan mengurniakan sesuatu yang jauh lebih baik kepada mereka di masa hadapan. Insya Allah.

Monday, December 22, 2008

Gambar Sekitar Peristiwa Kebakaran di Kuala Kedah

Sila layari facebook UMNO Kuala Kedah untuk melihat gambar yang diambil oleh Biro Penerangan pada malam kejadian tersebut dan keesokan paginya.

Lagi Berita Kebakaran di Kuala Kedah


Pada pukul 10 malam tadi, UMNO Bahagian Kuala Kedah dengan dibantu oleh Pemuda UMNO Bahagian telah membuat sumbangan pakaian sekolah dan pakaian untuk mangsa kebakaran. Antara AJK Bahagian yang hadir ialah Cikgu Shukur, Cikgu Osman Bashah dan Encik Che Dan.
Biro Penerangan dimaklumkan ada lagi sumbangan yang akan diberikan oleh UMNO Bahagian Kuala Kedah dan sayapnya yang lain termasuk Wanita dan Puteri.

Kebakaran di Kuala Kedah


Semalam (21/12/2008) telah berlaku satu kebakaran di Kawasan Parlimen Kuala Kedah yang melibatkan 5 buah rumah dan 6 keluarga. Kebanyakan dari mereka tinggal sehelai sepinggang.
Semua jentera UMNO Bahagian Kuala Kedah telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa kejadian.
Kebanyakan AJK Bahagian berada di sana termasuk Y.Bhg Dato' Jamil, Setiausaha Bahagian Tuan Hj. Ahmad, Ketua Wanita (Pn Nor Hasita), Ketua Pemuda (En Shafiq), Ketua Biro Kebajikan merangkap Bendahari (Dr. Razif), Ketua Biro Penerangan (Dr. Wan ), Dr Zaki, Cikgu Shukur, Cikgu Osman , En Ramli dan ramai lagi.
Umno Bahagian telah meluluskan bantuan segera berupa wang tunai kepada setiap keluarga bagi meringankan beban mangsa. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Hj. Ahmad Hj Shafie yang juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian kepada semua ketua keluarga mangsa yang terlibat.
Ketua Bahagian, Y.Bhg. Dato Latt Shariman telah mengarahkan supaya UMNO Bahagian mengadakan mesyuarat khas akibat bencana tersebut pada malam itu juga yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Jamil. Mesyuarat yang berlarutan hingga hampir pukul 1.00 pagi itu telah bersetuju:
  1. Memberikan makanan dan minuman segera kepada mangsa - diberikan pada malam itu juga.
  2. Meyumbangkan tilam dan bantal kepada semua mangsa - diserahkan pada malam itu juga
  3. Mengadakan tempat penginapan sementara
  4. Menyediakan bantuan makanan tambahan selain daripada apa yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  5. Mengadakan tabung kilat untuk memabantu mangsa

Pada hari ini, Pemuda UMNO Bahagian telah berusaha mencari sumbangan pakaian untuk mangsa kebakaran.

Pihak Biro Penerangan akan memberi maklumat lanjut selepas ini.

Thursday, December 18, 2008

Wednesday, December 17, 2008

Facebook UMNO Bahagian Kuala Kedah

Untuk membuatkan blog ini lebih profesional , Biro Penerangan telah mewujudkan satu laman khas (Facebook). Ini dapat memberi peluang kepada pihak Biro untuk memuat turun lebih banyak gambar aktiviti UMNO Bahagian Kuala Kedah tanpa mengambil terlalu banyak ruang dalam blog ini.

Sila layari alamat di bawah:http://www.facebook.com/profile.php?id=1064925555&ref=name(Sekiranya anda mengalami kesukaran - sila ke ruang UMNO Sana Sini dan klik Facebook UMNO Bahagian Kuala Kedah)

Gambar untuk aktiviti lain akan dimuat turun secara berperingkat tidak lama lagi.

Terima kasih.

Tuesday, December 16, 2008

Laporan Klinik Khidmat Bersama Dato' Latt - Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah

Salah satu pembaharuan yang telah diperkenalkan oleh Y.Bhg. Dato' Latt sejak menerajui UMNO Bahagian Kuala Kedah ialah mengadakan Klinik Khidmat khas untuk penduduk parlimen ini . Hingga kini, 3 Klinik Khidmat telah diadakan dengan kerjasama Pemuda, Wanita , Puteri dan semua Ahli Jawatankuasa Cawangan yang berdekatan.
Ia telah berlangsung di :

  1. DUN Kubang Rotan : Perkarangan Restoran Jati , Kuala Kedah - 16/11/2008
  2. DUN Pengkalan Kundor : Perkarangan Kedai Mee Abu , Tandop - 22/11/2008
  3. DUN Anak Bukit : Perkarangan Kedai Mee Kamal, Anak Bukit - 24/11/2008

Secara umumnya, klinik ini telah mendapat sambutan yang cukup hebat daripada kalangan penduduk sekitar. Mereka sememangnya mengalu-alukan program sebegini kerana ia memberi peluang untuk penduduk bermesra bersama dan mengenali dengan secara lebih dekat lagi kepimpinan UMNO Bahagian.

Laporan Majlis Bersama Penduduk Kubang Rotan

Keratan akhbar SINAR 14/12/2008 dan 15/12/2008
Majlis tersebut telah berlangsung pada 12/12/2008. Bahagian diwakili oleh Tuan Haji Abdul Muthalib Harun, Naib Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah.

Berikut adalah laporan program yang diterima daripada Puan Zuraini Kamal (AJK Bahagian merangkap Penyelaras UMNO Cawangan Kubang Rotan).
Program bermula pada jam 3.00 petang.Ramai penduduk kampung yang mengambil kesempatan untuk memeriksa tahap kesihatan masing-masing dan ianya dikendalikan oleh Unit Kesihatan Mergong. Syarikat Eyemaster Optometris yang prihatin telah membuka kaunter pemeriksaan mata dan khidmat nasihat secara percuma.
Kanak-kanak yang hadir telah dihiburkan oleh persembahan silap mata oleh badut. Bukan sahaja kanak-kanak seronok malah orang dewasa turut terhibur.
Seramai 25 orang kanak-kanak yang berumur 6 tahun telah mencuba bakat menyertai Pertandingan Mewarnai Bendera UMNO.

Bagi mengisi kekosongan sementara menanti ketibaan tetamu jemputan khas, Y.Bhg. Dato’ Radzi Sheikh Ahmad dan Y.Bhg Dato Seri Setia Diraja Dato Seri Syed Razak, para hadirin telah dihiburkan oleh 2 orang penyanyi cilik yang sangat berbakat iaitu adik Mohd Rozaidi (Pemenang tempat ke-3 - Pertandingan Bintang Kecil TV9) dan adik Zuriana Iman (Johan Bintang Kecil 2008 Peringkat Negeri Perlis). Kedua-duanya telah berjaya mencuri perhatian tetamu yang hadir dengan dendangan lagu-lagu Melayu.


Kemuncak acara adalah pertandingan tarik tali antara ahli cawangan dalam penyelaras Kubang Rotan kategori Lelaki dan Wanita. dan akhir sekali ialah upacara penyampaian cermin mata percuma kepada 20 orang penerima yang terpilih bagi Program SIHAT MATA 2008 yang telah dilancarkan pada bulan Mac 2008.

Y.Bhg. Dato Radzi dan Y.Bhg. Dato Syed Razak turut menyampaikan hadiah dan sumbangan kepada 25 orang Pelajar UPSR dari Sek Keb Dato Shaari. Seramai 4 orang pelajar berjaya mendapat keputusan 5A, 15 orang mendapat 4A 1 B dan 5 orang mendapat 3A 2B.
Majlis bersurai dengan jamuan minum petang pada jam 6.30petang

(Laporan ini telah disediakan oleh Puan Zuraini Kamal)

Monday, December 15, 2008

Laporan Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah

13.12.2008
Satu program Majlis Ramah Mesra Wanita bersama Puteri pada 13.12.2008 pada jam 8.30pm bertempat di MES Kastam Jalan Pegawai turut memeriahkan majlis iaitu Dato Latt Shariman Ketua Bahagian Kuala Kedah. Motif program ini adalah untuk:
- Merapatkan hubungan diantara AJK Wanita & AJK Puteri Bahagian Kuala Kedah dan
mengenal diantara satu sama lain.
14.12.2008
Mesyuarat telah diadakan diantara semua ketua puteri cawangan iaitu Dun Anak Bukit, Dun Pengkalan Kundur & Dun Kuala Kedah Yang telah diadakan seperti berukut:
Tarikh : 14.12.2008
Masa : 8.30pm
Tempat : Pejabat Umno Tingkat 3, Alor Star.
Mesyuarat tersebut adalah membincangkan mengenai penambahan ahli-ahli baru.
Sekian laporan daripada Biro Penerangan Puteri Bahagian Kuala Kedah
Norafiza bt Azis.

Sunday, December 14, 2008

Pemuda PAS Alor Pial Masuk UMNO


Pada 13/12/2008 , satu sejarah yang cukup manis bagi UMNO Bahagian Kuala Kedah telah berlaku di kawasan tandop dekat Alor Gunung.

Lebih 100 orang yang kebanyakannya orang kuat PEMUDA Pas Alor Pial tersebut telah beralih arah kepada UMNO. Mereka ini kebanyakannya penyokong kuat PAS sejak daripada kecil lagi dan menurut ramai pemerhati dalam kalangan UMNO , kawasan tersebut merupakan kubu kuat PAS dan di situlah terletaknya Markas PAS Alor Pial - yang terbesar bagi DUN Anak Bukit.
Ketua mereka (En Zakir) dan tuan rumah (En Bukhary) dalam ucapan mereka telah menerangkan kepada pimpinan UMNO mengapa mereka memilih untuk keluar daripada PAS. Antara intipati ucapan tersebut ialah
  • Kebanyakan daripada mereka merupakan ahli PAS sejak lahir lagi
  • Telah banyak berkorban untuk PAS terutama waktu pilihan raya dan sebelum mendapat kuasa
  • Kebanyakan daripada mereka merupakan golongan muda yang telah bertungkus lumus demi menjamin kejayaan PAS.
  • Berkata PAS telah mempergunakan mereka selama ini - menjadikan mereka seperti daun kari ('karapole') hanya untuk mewangikan masakan semata-mata iaitu untuk mencapai hasrat mereka untuk mendapat kuasa.
  • Kini apabila telah berkuasa, segala pengorbanan pemuda dan warga kawasan ini telah dilupakan. mereka ditidak lagi dipedulikan dan dibiarkan tanpa bantuan.
  • Segala pemohonan mereka untuk mendapat bantuan langsung tidak mendapat perhatian baik adun mahupun semua ahli jawatankuasa tertinggi PAS
  • Pemimipin tertinggi PAS negeri yang telah menjadi leka untuk berbakti kepada masyarakat. selalu tidak ada dalam kawasan , sering keluar negara walau pun dalam tempoh masa yang singkat memerintah
  • Memberikan pelbagai alasan untuk mengutip cukai dan sebagainya padahal ini tidak pernah dilakukan semasa UMNO memerintah

Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah, Dato Latt Shariman dalam ucapan balasnya berasa cukup terharu dan berterima kasih di atas kemasukan mereka semua ke dalam UMNO.
Hasrat beliau untuk melihat orang Melayu kembali bersatu bersama UMNO demi memartabatkan bangsa Melayu telah mula menampakkan hasil awalnya. Adalah diharapkan lebih banyak orang Melayu di kawasan itu akan mula sedar pembohongan PAS selama ini.
Sepanjang beliau di Parlimen bersama-sama Dato' Najib, tidak pernah PAS membangkitkan isu yang relevan kepada bangsa Melayu. Mereka sentiasa seperti dicucuk hidung oleh PKR dan tidak berani bersuara kerana takutkan DAP. Mereka juga lebih gemar bercakap pasal penubuhan ladang babi daripada memperjuangkan peningkatan ekonomi orang Melayu.

Di majlis yang sama, Dato' Latt telah menerima borang permohonan menyertai UMNO daripada ketua kumpulan tersebut. Beliau juga berjanji untuk cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat yang telah dianaktirikan oleh pimpinan PAS sebelum ini.


Kepada semua ahli baru itu diucapkan

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT BERJUANG DALAM UMNO.

Saturday, December 13, 2008

Ketua Pemuda dalam Akhbar Sinar - Tokoh Kita 13/12/2008


Gambar Ketua Pemuda tersiar di akhbar SINAR 913/12/2008) - ruangan tokoh kita. Syabas Ketua Pemuda Kuala Kedah

Thursday, December 11, 2008

Majlis Mesra Rakyat Bersama Penduduk Kubang Rotan

Menurut Puan Zuraini Kamal (AJK Bahagian merangkap Penyelaras UMNO Cawangan Kubang Rotan) , majlis tersebut akan diadakan pada :

tarikh : 12 disember 2008
hari : jumaat
masa : 3.30 petang
tempat : dewan UMNO cawangan kampung masjid, kubang rotan

aktiviti :
  • peraduan mewarna kanak-kanak bawah 6 tahun
  • pemeriksaan kesihatan percuma
  • pemeriksaan mata percuma
  • tarik tali antara cawangan
  • penyampaian kaca mata percuma
  • program sihat mata 2008
  • persembahan silap mata dan badut
  • sumbangan pelajar cemerlang upsr 2008
  • penyampaian hadiah
Semua dijemput hadir .

Wednesday, December 10, 2008

Mesyuarat Biro Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah

Mesyuarat pertama Biro Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah akan diadakan pada pukul 5.00 petang, 11/12/2008 bertempat di Kedah Medical Centre. Semua ahli biro yang telah dihubungi sebelum ini dijemput hadir.terima kasih

Tuesday, December 9, 2008

Program Futsal di Sekolah Kebangsaan Kangkong.



Keratan Akhbar SINAR (9/12/2008) mengenai program yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah baru-baru ini. Terima kasih di atas sambutan yang menggalakkan dan tahniah kepada Pemuda UMNO. Teruskan usaha sebegini demi kebaikan bersama...

Sunday, December 7, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

YBhg. Dato' Latt Shariman dan seluruh AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat khususnya yang berada di kawasan Parlimen Kuala Kedah.
Jari sepuluh disusun memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap.
Semoga hidup kita semua aman, tenteram dan sentiasa diberkati Allah SWT, Insya Allah.