Sempena tahun baru 2009, UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin berpesan kepada semua ahli UMNO khususnya dan kepada semua orang Melayu amnya untuk bersama-sama bermuhasabah dan menilai diri kita kembali. Setelah sekian lama kita hidup di muka bumi Allah ini, apakah sumbangan yang telah kita lakukan kepada agama, bangsa dan negara? Apakah keburukan kita? Apakah kelemahan kita ? Apakah kekurangan kita ? Di samping itu , nilai juga kebaikan , kekuatan dan kelebihan diri kita.
Seterusnya apa yang perlu dilakukan ialah memperbaiki apa yang boleh diperbaiki dan mengubah apa yang boleh diubah demi kebaikan kita bersama. Manusia sememangnya tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tetapi jangan jadikannya satu alasan untuk terus melakukan kesalahan yang sama secara berulang kali.
Orang yang bijak juga melakukan kesalahan tetapi mereka cepat belajar daripada kesalahan tersebut dan menggunakannya untuk memajukan diri sendiri di masa hadapan. Mereka juga menumpukan ke arah memaksimumkan kelebihan dan kekuatan diri ; dan meminimumkan impak yang mungkin timbul akibat kelemahan dan kekurangan yang sedia ada.
Dalam konteks yang sama, UMNO sendiri perlu belajar daripada kesilapan yang lalu. Tiada salah membuat post-mortem dan sebagainya sebagai suatu bentuk muhasabah diri namun apa yang lebih penting ialah apakah kita menggunakan hasil yang diperoleh daripada proses tersebut dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan ? Kita harus belajar daripada kesalahan dan berusaha untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Itulah jalan yang terbaik dan digalakkan oleh agama.
Ramai berpendapat bahawa di sebalik semua post-mortem yang telah dilakukan, UMNO masih takuk yang lama. Masih dengan sikap yang lama, dan selesa dengan cara yang sama. “Ini tradisi UMNO” kata mereka. Tidak perlu diubah dan tidak perlu diganggu. Kekalahan UMNO di pilihan raya umum yang baru lalu bukanlah salah UMNO atau salah tradisi UMNO, tetapi salah orang lain. Itulah sikap buruk kita , suka menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.
Orang Melayu umumnya juga begitu sifatnya. Kita tidak pernah mahu mengaku salah atau menilai diri dengan jujur. Salahkan orang lain memang mudah. Tetapi ingat, menuding satu jari kepada orang lain, empat jari lain menuding ke arah kita sendiri. Kita malas berusaha, kita banyak meminta dan kita mahukan semuanya dengan segera tanpa perlu mengangkat tangan atau mengeluarkan peluh untuk mencapai impian kita.
Lihatlah masyarakat kita sekarang. Orang Melayu ingin terus menjadi tuan tetapi hakikatnya kita lebih banyak menjadi kuda tunggangan orang lain. Kita suka meminta tapi kita malas berusaha.
Budaya subsidi menjadi kebanggaan kita. Semua harus diberi oleh kerajaan. Kalau boleh, kita mahu bangun pagi dengan semuanya tersedia di hadapan mata. Kita mahu menjadi raja di bumi sendiri. Orang lain perlu menghormati kita. Pemimpin dan kerajaan kita harus menyara kita dan anak-anak kita kerana kita adalah tuan.
Ramai dari kita masih enak dibuai mimpi. Masih ramai yang sengaja membutakan mata dan menulikan telinga. Biarlah apa yang orang lain lakukan, asalkan perut kita kenyang dengan subsidi dan wang pemberian yang tidak seberapa. Berilah duit kopi sedikit, semuanya boleh diterima. Kita masih boleh tersenyum walaupun hakikatnya kita semakin hilang hak dan maruah bangsa...
Dengki mendengki sesama sendiri juga tidak terkecuali. Kita sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan orang lain gagal mendapat perkara yang sama. Kita tidak mahu orang Melayu lain sama-sama berjaya.
Biarlah mereka menderita asalkan kita bahagia. Biarlah bangsa kita mundur asalkan kita sendiri kaya raya. Pijaklah kepala orang lain demi untuk mencapai cita-cita dan matlamat kita. Taburkanlah fitnah supaya orang lain dicaci dan dihina , serta kita terus dipuja. Agama bukan lagi menjadi pedoman tetapi hanya dianggap sebagai warisan semata-mata.
UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin merayu kepada semua anak bangsa baik di mana sahaja anda berada. Ubahlah sikap dan pemikiran kita semua. Marilah kita sama-sama bergabung tenaga kebaikan kita bersama. Insya Allah, semoga Allah SWT akan turut memberkati usaha dan pengorbanan kita.
Bersatu Kita Teguh , Bercerai Kita Roboh.