Assalamualaikum,
Sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah, izinkan saya mengambil kesempatan di sini untuk menjawab beberapa persoalan yang sering dikemukakan dan dibangkitkan oleh individu tertentu dalam Bahagian ini sama ada melalui media massa, alam siber mahupun kedai-kedai kopi.
Pertama sekali, jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan di atas keprihatinan mereka semua terhadap apa yang telah, sedang dan akan berlaku dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah. Terima kasih juga kerana begitu ramai daripada mereka kerap turun padang untuk mendengar rungutan daripada akar umbi. Susah sebenarnya hendak mencari individu begini. Sanggup bekerja keras walau pun tanpa sebarang gaji.
Sebagai penyokong kuat UMNO sejak zaman muda remaja lagi, saya sendiri sebenarnya telah lama menjadi pemerhati. Memang jelas bagi saya, mereka yang sering membuat komen begini mempunyai pengetahuan dan pengalaman cukup luas dalam parti. Cukup bagus dan amat berguna kalau berada di sebelah kami...Tapi yang sedihnya mungkin mereka ini terpinggir atau kecewa, sebab itu mereka bersikap sedemikian rupa.
Atas alasan inilah, ketika mengambil alih tugas sebagai Ketua Penerangan, perkara pertama yang saya lakukan ialah membina blog ini. Ia bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau meninggi diri. Namun saya merasakan ia perlu bagi memberi penjelasan terhadap apa yang sebenarnya berlaku di dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah. Saya tidak mahu bersembunyi atau berahsia sesuai dengan prinsip atau ‘motto’ yang dibawa oleh Yang Berbahagia Ketua Bahagian kita yang baru iaitu Mesra, Muafakat & Amanah.
Kita mahukan hubungan yang baik dengan semua orang terutamanya ahli parti. Imej suka berpecah belah, berperang sesama sendiri, mementingkan wang dan projek, fitnah memfitnah, cantas mencantas demi kepentingan peribadi dan berpuak-puak dalam parti adalah punca kekalahan kita dalam pilihan raya yang baru lalu dan mengapa UMNO Kuala Kedah berada di dalam situasi seperti sekarang ini.
Namun setiap penyakit ada ubatnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Tidak ada sesuatu yang tidak boleh dicapai sekiranya kita semua bersatu hati dan berganding bahu demi mengembalikan maruah UMNO di mata dunia. Kita tidak perlu terlalu ‘ambitious’ dan gopoh dalam melakukan perubahan. Manusia takutkan perubahan dan mahukan persamaan walaupun seburuk mana keadaan yang sedia ada.
Kita perlukan penjenamaan semula (sila baca semula segmen mengenai perkara ini dalam blog ini) dan ia akan mengambil masa. UMNO sebenarnya dah cukup cantik namun kita telah mengotorkannya. Pembersihan perlu dibuat tapi dengan cara berhemah. Ibarat menarik benang dalam tepung, biar benang tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.
Kita sebenarnya berada dalam keadaan yang terbaik untuk berubah dan berhijrah. Seperti kata pepatah orang putih “Lets make a fresh start!”. Bermula daripada bawah adalah lebih mudah daripada bermula ketika di puncak. Sebarang perubahan positif adalah satu bonus dan sebarang kekecewaan tidak harus dianggap sebagai kegagalan.
Perjalanan kita masih jauh. Perubahan mengambil masa dan Ketua Bahagian yang baru perlu diberi kesempatan untuk mengumpul bala tentera dan mengatur strategi. Tergopoh gapah membuat sesuatu akan mengundang kegagalan. Ingat – sabar separuh daripada iman. Dalam Islam pun, segala amal ibadat lebih afdal kalau dibuat sedikit demi sedikit tetapi berterusan daripada membuat banyak tapi pada sekejap sahaja. Itu lebih kepada ingin menunjuk-nunjuk namanya.
Kalau memang benar mereka yang membuat sering membuat kritikan ini sayangkan parti, datanglah berjumpa kami. Nombor telefon dan alamat untuk dihubungi telah kami paparkan untuk sekian lama dalam blog ini. Begitu juga senarai ahli jawatankuasa serta penyelaras dan sebagainya. Pintu saya sendiri sentiasa terbuka. Telefon atau SMS lah kami bila-bila masa. Kalau malu tau tiada masa untuk berjumpa, melalui e-mel pun boleh juga.
Mereka-mereka ini tentu setuju bahawa adalah lebih baik mendengar cerita yang sebenarnya daripada tuan empunya badan daripada mengutuk atau membuat komen tanpa bukti. Itu fitnah namanya. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dosa besar dan dosa besar perlu dijauhi.
Sebagai orang yang saya rasa amat sayangkan UMNO dan ingin membantu UMNO Kuala Kedah, bukankah cara yang demikian lebih banyak buruk daripada baiknya, lebih berkemungkinan mengundang perpecahan daripada perpaduan? Itu kah yang kita mahukan? Adakah tidak cukup lagi perpecahan yang berlaku dalam di dalam masyarakat Islam di dunia ini? Lihatlah apa yang berlaku di Palestin. Mereka ditindas dan dibunuh. Negara Islam yang kaya raya pula asyik bergaduh sesama sendiri hingga Negara Israel yang sekecil itu pun tidak boleh diperangi...
1. Isu tidak ada persefahaman di antara Ketua Bahagian dengan Timbalan, Naib dan semua Ahli Jawatankuasa.
Bagi saya, isu ini sering dimainkan oleh orang sentiasa inginkan perpecahan dalam parti. Sebagai Ketua yang baru sahaja mengambil alih kepimpinan Bahagian, proses peralihan sememangnya akan mengambil masa. Berilah sedikit masa untuk beliau mengenali isi hati dan budi. Seperti dalam mana-mana perkahwinan atau persahabatan sekalipun, ia mengambil masa untuk nak serasi.
Jelas ada orang yang tidak mahu melihat UMNO Kuala Kedah bersatu dan kuat semula. Dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, kita telah mencapai kemajuan yang cukup memberangsangkan. Kita memperjuangkan matlamat yang sama. Berbeza pendapat adalah perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dalam suatu organisasi yang besar seperti ini. Apa yang lebih penting ialah, kita harus membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Barulah teguh peribadi (Mungkin mereka kena lebih selalu dengar lagu P. Ramlee)
Mesra, Muafakat & Amanah adalah prinsip yang dipegang oleh Ketua Bahagian dan ingin diterapkan kepada semua. Namun manusia ini rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Tetapi kalau semua sayangkan parti, kita akan sanggup bersatu kembali. Umat Islam adalah bersaudara. Kita perlu merapatkan barisan bukannya keluar membuat bulatan...Umpama biduk lalu kiambang bertaut dan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
2. Isu Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahagian Tambahan /Penyelaras Mukim / Syed Man dan Sebagainya.
Sebagai seorang Ketua Bahagian, pelantikan sememangnya menjadi hak dan di bawah budi bicara beliau. Namun ia bukanlah dibuat berdasarkan emosi dan kepentingan peribadi. Semuanya dibuat atas kredibiliti dan dasar inginkan perpaduan dan kekuatan dalam parti. Tetapi biasalah... mana ada dalam dunia ini semua orang akan berpuas hati. Sedangkan Nabi kita Muhammad SAW yang paling kita kasihi pun dikutuk dan dikeji, inikan pula kita di zaman ini.
Tak payahlah marahkan Syed Man atau sesiapa sahaja. Kalau nak jumpa Dato’, tak payah tunggu dia datang kepada kita. Apa salahnya kita sendiri datang bertemu beliau. Sepanjang pengetahuan dan pengamatan saya, tidak pernah pula Syed Man pernah menghalang sesiapa daripada berjumpa Ketua Bahagian kita ini. Pokok pangkalnya hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
3. Isu tidak turun padan berjumpa ahli cawangan dan ketua cawangan ; atau pergi kenduri
Inilah yang menjadi masalah orang kita wahai saudara ku sekalian. Dalam dunia di era globalisasi dan dalam kita sudah kalah begini, kita masih lagi ingin meninggi diri. Kalau kita sayangkan parti, buanglah sikap yang buruk ini. Takkanlah semua orang Dato Latt nak kena pergi minum kopi sekali? Banyak sudah aktiviti yang dijalankan dalam beberapa bulan ini. Ketua Bahagian pun ada sekali tapi tak ramai yang ingin datang duduk bersama kami.
Kalau kita sayang kepada pemimpin, itulah pengorbanan yang perlu kita lakukan. Kalau pemimpin tak sempat nak datang berjumpa kita, kita pergilah berjumpa dengan pemimpin tersebut. Apa yang penting ialah matlamat dan objektif dan bukannya metodologi. Masalahnya bila dipanggil untuk aktiviti, masing-masing melarikan diri. Macam-macam alasan yang diberi.
Ingatlah wahai semua tuan empunya diri, pemimpin bukan hanya diukur melalui berapa banyak kenduri yang boleh dihadiri atau berapa banyak duit yang boleh diberi... Kita sudah dapat seorang pemimpin yang boleh membawa kita ke peringkat yang lebih tinggi dan ini menuntut pengorbanan daripada semua baik di peringkat tertinggi mahupun di akar umbi.
4. Isu kemenangan Dato’ Latt hanya kerana kedudukan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Perdana Menteri
Ini merupakan isu yang cukup menggelikan hati. Mungkin ia dibawa oleh orang yang telah ketandusan idea untuk diketengahkan. Bertanding Ketua Bahagian bukanlah seperti bertanding lumba lari atau lawan siapa pandai masak Maggi. Kemenangan adalah kehendak akar umbi. Semua ahli bertanggung jawab memilih Ketua yang mempunyai kredibiliti.
Saya percaya perwakilan yang memilih Dato’ Latt dalam pemilihan yang lalu, telah berfikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan. Kalau kedudukan dan berapa banyak wang yang boleh masuk ke poket sendiri yang jadi ukuran, itu jelas tidak menunjukkan kematangan diri. Dato Latt semestinya ada kekuatan dan keistimewaan sendiri. Janganlah kita terlalu cepat untuk menghukum tanpa memberi peluang untuk beliau membuktikan keupayaan diri. Jangan cepat sangat hendak melatah. Nilai dan pandang dengan isi hati yang suci dan bukannya dengan hasad atau dengki.
5. Isu Ketua Penerangan & Masalah dengan Pemuda
Memanglah kalau dibandingkan dengan mereka semua , siapalah saya ini. Saya dulu terlalu sibuk pergi mengaji berbanding mereka-mereka yang rajin turun ke akar umbi. Begitu juga mungkin saya cuma pandai sedikit dalam bidang jiwa dan psikologi. Tak seperti mereka yang begitu mendalami ilmu politik ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Marilah kita berganding bahu demi parti bukan bercakaran sesama sendiri. Kalau ingin mengenali diri ini, layarilah blog saya sendiri - http://pakar-jiwa-kmc.blogspot.com. Mungkin saya tak sempat nak update selalu ketika ini dek kerana asyik kena menjawab kritikan setiap hari.
Mungkin saya tidak mempunyai kaliber seperti yang dikehendaki namun saya rela menerima amanah ini demi parti. Memang diakui saya tidak mempunyai pengalaman politik di peringkat tertinggi tapi kalau orang seperti mereka boleh jadi penasihat peribadi, Insya Allah semuanya akan jadi cantik sekali...
Isu program yang disusun tanpa Ketua Bahagian bukanlah menjadi satu isu untuk perdebatan. Seorang Ketua yang baik dalam sesebuah organisasi tidak perlu membuat semuanya sendiri. Dia boleh 'delegate authority'.
Banyak program yang telah diatur dalam sebulan dua ini merupakan program 'ad hoc' yang dibuat demi kepentingan rakyat. Program Palestin contohnya dibuat kerana keprihatinan kita terhadap apa yang berlaku di bumi Gazza. Kalau semua nak tunggu kelulusan mensyuarat bahagian, maka akan perlahanlah dan terbantutlah segala aktiviti kita.
Ketua Bahagian sentiasa bersedia untuk turun padang bila-bila masa dan di mana jua. Tetapi tidak bermaksud kalau beliau tidak ada , program tidak boleh berjalan juga. Itulah yang dimaksudkan dengan 'delegating authority'. Beliau sentiasa peka dan tahu apa yang berlaku dalam bahagian. Mereka yang diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja Bahagian sudah tentulah yang dirasakan berkemampuan untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan berkesan. Seperti biasa kita amat mengharapkan para ahli semua untuk turun memberi sokongan.
Isu dengan pemuda sebenarnya tidak ada langsung. Cuma orang suka serkap jarang dan mencucuk jarum.... Hubungan Shafiq, Shahrun, Rozairi, Fauzi Penerangan dan semua orang kuat pemuda dengan saya macam biasa sahaja. Mereka saya umpamakan adik beradik dan saudara saya. Tugas saya adalah menyokong menyokong dan membantu mereka seberapa daya.
Seperti kata saya tadi, berbeza pendapat adalah lumrah di alam ini. Kalau tidak alamat hambarlah dunia ini. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting kejujuran dan keikhlasan dalam menghadapinya. Tidak pernah wujud retak yang menanti belah, tidak ada konflik besar yang perlu ditangani. Kalau benar pun ada perselisihan faham pada bila masa, ia boleh ditangani secara bersama. Ingatlah air di cincang tidak akan putus.
Saya selalu mengambil pendekatan yang mudah. Tegurlah saya kalau saya salah, bantulah saya kalau saya bermasalah. Buanglah saya kalau rasa saya menjadi liabiliti. Ingatkan saya jika saya telah telah lari atau menyimpang dari matlamat perjuangan agama, bangsa, negara dan parti.
Saya memasuki politik bukan untuk mencari musuh tetapi cuma ingin bersaudara dengan semua. UMNO dan Kerajaan telah banyak membantu saya hingga ke peringkat ini. Inilah masanya saya membalas budi. Saya tidak mempunyai harta yang berjuta tetapi bersedia menolong sekadar terdaya.
Saya tidak suka bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali ahli-ahli pemuda yang saya anggap sebagai adik-adik saya belaka. Kalau saya pernah melukakan hati sesiapa, ampun dan maaf saya pinta. Kalau ada yang merasa mereka telah bersalah kepada saya, saya bersedia memaafkan mereka semua pada bila-bila masa. Bukan hendak bermuka-muka tetapi itulah yang dituntut oleh agama.
Terima kasih sekali lagi di atas keprihatinan mereka semua kepada UMNO Bahagian Kuala Kedah. Kalau sudi, marilah kita minum kopi sekali. Boleh saya terangkan semuanya agar tidak ada lagi keraguan di hati. Mari kita bersama-sama membangunkan UMNO Kuala Kedah agar ia menjadi hebat kembali.
Wassalam,
Dr. Wan Mohd Rushidi Haji Wan Mahmud,
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah