Utusan Online - 14.07.2009
Tiada jawatan kalau tak buat kerja - PM
ALOR SETAR 13 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada ahli-ahli parti itu bahawa mereka tidak akan diberikan jawatan sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.Ini kerana menurutnya, UMNO memerlukan orang yang boleh membuat kerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang masa dan sentiasa dekat di hati rakyat.
''Buat kerja sungguh-sungguh, turun ke bawah, dekat di hati rakyat sepanjang masa,'' ujarnya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Pemimpin UMNO Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalannya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ketua Penerangan, Senator Datuk Jamil Khir Baharum; Bendahari, Datuk Mukhriz Mahathir dan pemimpin-pemimpin sayap serta bahagian UMNO negeri ini.
Sambil mengingatkan bahawa mesej tersebut untuk ahli UMNO Kedah, tegas Najib, jawatan hanya akan diberi kepada ahli-ahli yang membuat kerja. ''Kalau nak jawatan, buat kerja dari sekarang. Saya bagi amaran kalau tak buat kerja jangan harap (dapat jawatan). Saya tak kira siapa kerana yang dipilih mesti buat kerja dan dekat di hati rakyat.
''Jangan jadi wakil rakyat tak buat kerja, jangan nak glamor... Sampai masa lobi, tak dapat lobi saya lobi pegawai saya, lobi semua orang dan apabila disemak, kerja tak buat, apa pun tak buat,'' tegasnya.
Najib turut menjelaskan bahawa beliau mengetahui mengenai apa yang berlaku di bahagian dan cawangan UMNO.''Orang yang dipilih mestilah dekat di hati kita... Saya tahu ada jawatan Ketua Bahagian (UMNO), saya tahu apa permainannya.''Yang penting bukan permainan dengan parti tetapi permainan dengan rakyat kerana sokongan rakyat itu penting," kata beliau.
Najib memberitahu, jika ahli-ahli parti mengikut panduan tersebut, UMNO akan dapat kembali menebus maruahnya di negeri ini.