HUBUNGI KAMI:

UMNO Bahagian Kuala Kedah
Tingkat 3, Bangunan UMNO, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Telefon: +604-7301710 Faks: +604-7301699
E-mail:
kualakedah.umno@gmail.com
ketua.penerangan.ubkk@gmail.com

Saturday, January 31, 2009

Sepintas Lalu : Ketua Bahagian di Majlis Persatuan Bekas Perajurit

Yang Berbahagia Dato' Latt Shariman telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Perajurit Cawangan Kuala Kedah 2009 di Taman Sri Putra.

**Gambar Ihsan daripada Borhan Sidqi Abdullah - AJK Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah

Berita Mengenai Ketua Bahagian Dalam Media - SINAR 31/01/2009 :U4




Friday, January 30, 2009

Majlis Perjumpaan Mesra AJK Bersama Ketua Bahagian


Hari ini telah berlangsung Majlis Mesra Bersama Ketua Bahagian di Star City Hotel, Alor Setar, Kedah. Ia dianjurkan khusus untuk memberi peluang kepada semua AJK Bahagian beramah mesra dan berbincang dengan Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup santai dan dihadiri oleh ramai AJK Bahagian termasuk Yang Berbahagia Dato Jamil (Timbalan Ketua), Tuan Haji Abdul Muthalib (Naib Ketua), Ketua Wanita (Puan Noor Hasita), Ketua Puteri (Puan Tanti Yusnita), Setiausaha (Tuan Haji Ahmad), Ketua Penerangan (Dr Wan), Yang Berbahagia Dato’ Abdulllah Hasnan , Encik Zainal Alam, Yang Berbahagia Dato' Hj. Abdul Halim, Tuan Hj. Halim, Puan Zuraini , Encik Jasni, Cikgu Ramli , Yang Berbahagia Dato' Hajah Rokiah, Tuan Hj. Nordin, Tuan Hj. Abdul Manan, dan Tuan Hj. Zul Ahmad Tarmizi.
** Lebih banyak gambar dalam Facebook UMNO Kuala Kedah

Aktiviti Ketua Bahagian Dapat Perhatian Media - SINAR (30/1/09 - U4)


Thursday, January 29, 2009

Perjumpaan Dengan Ketua Bahagian di Kampung Pisang


Hari ini telah berlangsung pertemuan antara Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah dengan ahli-ahli UMNO Cawangan Kampung Pisang , DUN Pengkalan Kundor.
Ini merupakan salah satu daripada aktiviti yang dibuat oleh Ketua Bahagian UMNO sepanjang minggu ini.
Biro Penerangan difahamkan pertemuan dengan Ketua Cawangan dan ahli-ahli cawangan dalam Parlimen Kuala Kedah akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Setiap cawangan diharap dapat bersabar menunggu giliran masing -masing.
** Gambar Ihsan daripada Borhan Sidqi Abdullah (AJK Penerangan Bahagian)

Sepintas Lalu : Ketua Bahagian di Majlis Marhaban

Ketua Bahagian di Majlis Marhaban di rumah Setiausaha UMNO Cawangan Taman Indah , Titi Gajah (DUN Anak Bukit)

** Gambar Ihsan daripada Borhan Sidqi Abdullah - AJK Penerangan Bahagian

Perjumpaan Ketua Bahagian dengan Ketua Cawangan di DUN Pengkalan Kundor


Semalam telah berlangsung satu pertemuan antara Yang Berbahagia Dato Latt dengan sebahagian daripada Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cawangan di DUN Pengkalan Kundor.
Ia diadakan di rumah salah seorang daripada Ketua Cawangan (Pak Ndak Mansor) di Permatang Ibus dan dihadiri oleh hampir 60 orang termasuk beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian seperti Tuan Hj Ahmad (Setiausaha Bahagian ), Dr Wan Rushidi dan Dr. Zaki.
Secara umumnya majlis tersebut telah berjalan dengan lancar. Ia telah membuka ruang kepada semua yang hadir untuk bermesra dan bertukar pandangan dengan Yang Berbahagia Ketua Bahagian. Banyak isu yang telah dibangkitkan dan Yang Berbahagia Dato' Latt telah berjanji untuk cuba menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.

Wednesday, January 28, 2009

Ketua Bahagian di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Telok Chengai

Yang Berbahagia Dato' Latt hari ini telah melawat dan menyampaikan elaun khas kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Telok Chengai dalam Parlimen Kuala Kedah. - Gambar ihsan daripada Borhan Sidqi Abdullah - AJK Penerangan Bahagian

AJK UMNO Bahagian & Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Kuala Kedah Dalam SINAR U4 (28/1/09)


Encik Harisfadzillah Hussain - Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Kuala Kedah yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Kedah (dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah) telah membuat kenyataan tersebut dalam ucapannya di Program Kesihatan & HIV/AIDS di TABIKA KEMAS Telok Layang pada 24/1/2009 yang lalu.

Tuesday, January 27, 2009

Program Sembang Petang Bersama Media

Hari ini Ketua Bahagian kita, Y.Bhg. Dato' Latt Shariman telah sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan wakil media daripada NST, Berita Harian & Harian Metro.
Program Sembang Petang ini merupakan yang pertama diadakan dan telah berlangsung di Coffee House, Hotel Sri Malaysia , Alor Star, Kedah. Ia bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara media utama dengan UMNO Bahagian Kuala Kedah.
Insya Allah, program yang sama akan dibuat bersama-sama wakil media yang lain pula tidak lama lagi.

Perjumpaan Ketua Bahagian Dengan Ketua Cawangan Daripada DUN Anak Bukit

Pada 26/01/09 telah berlangsung satu perjumpaan antara Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah dengan lebih 100 orang yang terdiri daripada Ketua Cawangan & AJK Cawangan dalam kawasan DUN Anak Bukit. Majlis tersebut berlangsung di rumah Pak Ku Baharum.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian (Yang Berbahagia Dato' Hj. Mohd Jamil), Naib Ketua Bahagian (Tuan Haji Abdul Muthalib), Setiausaha Bahagian (Tuan Haji Ahmad) , Ketua Penerangan (Tuan Dr. Wan Mohd Rushidi ) dan AJK Bahagian (Tuan Haji Zul Ahmad Tarmizi)

Majlis tersebut memberi peluang kepada semua Ketua dan AJK UMNO Cawangan untuk beramah mesra dengan kepimpinan bahagian yang baru. Banyak persoalan yang telah ditimbulkan dan dijawab oleh Ketua Bahagian.

Kehadiran Timbalan & Naib Ketua Bahagian pada malam itu turut membuktikan bahawa terdapat perpaduan yang kukuh dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah. Mereka semua telah sepakat untuk bersatu di bawah pimpinan Yang Berbahagia Dato Latt demi memperjuangkan nasib orang-orang Melayu khususnya di dalam Parlimen Kuala Kedah ini.

Sila layari facebook UMNO Kuala Kedah untuk melihat lebih banyak gambar pada majlis tersebut

Monday, January 26, 2009

Ketua Bahagian Melawat Mangsa Bot Karam Yang Terselamat


Lawatan tersebut dibuat oleh Yang Berbahagia Dato Latt pada 26/01/09 . Gambar ihsan daripada Borhan Sidqi - AJK Penerangan Bahagian

Program Kesihatan & HIV/AIDS dan Ketua Bahagian Dapat Perhatian Media







Perjumpaan Ketua Bahagian Dengan Penyokong Setia UMNO di Tongkang Yard (25/01/09)

Majlis ini dianjurkan oleh UMNO Cawangan Rumah Pangsa Tongkang Yard in telah berlangsung pada 25/01/09.
Dalam ucapan beliau, Yang Berbahagia Dato Latt menyeru semua ahli UMNO Kuala Kedah kembali bersatu selepas pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian yang baru lalu demi kebaikan parti dan orang Melayu kerana perpecahan hanya akan membawa kepada kehancuran. Dato Latt berjanji akan bekerja keras demi untuk memastikan UMNO Bahagian Kuala Kedah kembali hebat di masa yang akan datang.
Beliau juga menekankan bahawa tidak ada pilih kasih di antara mana-mana cawangan walau pun cawangan tersebut tidak menyokong beliau dalam pemilihan yang telah lalu. Khabar angin yang mengatakan demikian hanyalah fitnah semata-mata dan dibawa oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Dalam majlis yang sama, Ketua Cawangan Rumah Pangsa Tongkang Yard telah menyerahkan 8 borang permohonan ahli baru untuk menyertai UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Sunday, January 25, 2009

Bicara Kata Ketua Penerangan

Assalamualaikum,

Sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah, izinkan saya mengambil kesempatan di sini untuk menjawab beberapa persoalan yang sering dikemukakan dan dibangkitkan oleh individu tertentu dalam Bahagian ini sama ada melalui media massa, alam siber mahupun kedai-kedai kopi.

Pertama sekali, jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan di atas keprihatinan mereka semua terhadap apa yang telah, sedang dan akan berlaku dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah. Terima kasih juga kerana begitu ramai daripada mereka kerap turun padang untuk mendengar rungutan daripada akar umbi. Susah sebenarnya hendak mencari individu begini. Sanggup bekerja keras walau pun tanpa sebarang gaji.

Sebagai penyokong kuat UMNO sejak zaman muda remaja lagi, saya sendiri sebenarnya telah lama menjadi pemerhati. Memang jelas bagi saya, mereka yang sering membuat komen begini mempunyai pengetahuan dan pengalaman cukup luas dalam parti. Cukup bagus dan amat berguna kalau berada di sebelah kami...Tapi yang sedihnya mungkin mereka ini terpinggir atau kecewa, sebab itu mereka bersikap sedemikian rupa.

Atas alasan inilah, ketika mengambil alih tugas sebagai Ketua Penerangan, perkara pertama yang saya lakukan ialah membina blog ini. Ia bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau meninggi diri. Namun saya merasakan ia perlu bagi memberi penjelasan terhadap apa yang sebenarnya berlaku di dalam UMNO Bahagian Kuala Kedah. Saya tidak mahu bersembunyi atau berahsia sesuai dengan prinsip atau ‘motto’ yang dibawa oleh Yang Berbahagia Ketua Bahagian kita yang baru iaitu Mesra, Muafakat & Amanah.

Kita mahukan hubungan yang baik dengan semua orang terutamanya ahli parti. Imej suka berpecah belah, berperang sesama sendiri, mementingkan wang dan projek, fitnah memfitnah, cantas mencantas demi kepentingan peribadi dan berpuak-puak dalam parti adalah punca kekalahan kita dalam pilihan raya yang baru lalu dan mengapa UMNO Kuala Kedah berada di dalam situasi seperti sekarang ini.

Namun setiap penyakit ada ubatnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Tidak ada sesuatu yang tidak boleh dicapai sekiranya kita semua bersatu hati dan berganding bahu demi mengembalikan maruah UMNO di mata dunia. Kita tidak perlu terlalu ‘ambitious’ dan gopoh dalam melakukan perubahan. Manusia takutkan perubahan dan mahukan persamaan walaupun seburuk mana keadaan yang sedia ada.

Kita perlukan penjenamaan semula (sila baca semula segmen mengenai perkara ini dalam blog ini) dan ia akan mengambil masa. UMNO sebenarnya dah cukup cantik namun kita telah mengotorkannya. Pembersihan perlu dibuat tapi dengan cara berhemah. Ibarat menarik benang dalam tepung, biar benang tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.

Kita sebenarnya berada dalam keadaan yang terbaik untuk berubah dan berhijrah. Seperti kata pepatah orang putih “Lets make a fresh start!”. Bermula daripada bawah adalah lebih mudah daripada bermula ketika di puncak. Sebarang perubahan positif adalah satu bonus dan sebarang kekecewaan tidak harus dianggap sebagai kegagalan.

Perjalanan kita masih jauh. Perubahan mengambil masa dan Ketua Bahagian yang baru perlu diberi kesempatan untuk mengumpul bala tentera dan mengatur strategi. Tergopoh gapah membuat sesuatu akan mengundang kegagalan. Ingat – sabar separuh daripada iman. Dalam Islam pun, segala amal ibadat lebih afdal kalau dibuat sedikit demi sedikit tetapi berterusan daripada membuat banyak tapi pada sekejap sahaja. Itu lebih kepada ingin menunjuk-nunjuk namanya.

Kalau memang benar mereka yang membuat sering membuat kritikan ini sayangkan parti, datanglah berjumpa kami. Nombor telefon dan alamat untuk dihubungi telah kami paparkan untuk sekian lama dalam blog ini. Begitu juga senarai ahli jawatankuasa serta penyelaras dan sebagainya. Pintu saya sendiri sentiasa terbuka. Telefon atau SMS lah kami bila-bila masa. Kalau malu tau tiada masa untuk berjumpa, melalui e-mel pun boleh juga.

Mereka-mereka ini tentu setuju bahawa adalah lebih baik mendengar cerita yang sebenarnya daripada tuan empunya badan daripada mengutuk atau membuat komen tanpa bukti. Itu fitnah namanya. Dalam Islam, fitnah adalah salah satu dosa besar dan dosa besar perlu dijauhi.

Sebagai orang yang saya rasa amat sayangkan UMNO dan ingin membantu UMNO Kuala Kedah, bukankah cara yang demikian lebih banyak buruk daripada baiknya, lebih berkemungkinan mengundang perpecahan daripada perpaduan? Itu kah yang kita mahukan? Adakah tidak cukup lagi perpecahan yang berlaku dalam di dalam masyarakat Islam di dunia ini? Lihatlah apa yang berlaku di Palestin. Mereka ditindas dan dibunuh. Negara Islam yang kaya raya pula asyik bergaduh sesama sendiri hingga Negara Israel yang sekecil itu pun tidak boleh diperangi...

1. Isu tidak ada persefahaman di antara Ketua Bahagian dengan Timbalan, Naib dan semua Ahli Jawatankuasa.

Bagi saya, isu ini sering dimainkan oleh orang sentiasa inginkan perpecahan dalam parti. Sebagai Ketua yang baru sahaja mengambil alih kepimpinan Bahagian, proses peralihan sememangnya akan mengambil masa. Berilah sedikit masa untuk beliau mengenali isi hati dan budi. Seperti dalam mana-mana perkahwinan atau persahabatan sekalipun, ia mengambil masa untuk nak serasi.

Jelas ada orang yang tidak mahu melihat UMNO Kuala Kedah bersatu dan kuat semula. Dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, kita telah mencapai kemajuan yang cukup memberangsangkan. Kita memperjuangkan matlamat yang sama. Berbeza pendapat adalah perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dalam suatu organisasi yang besar seperti ini. Apa yang lebih penting ialah, kita harus membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Barulah teguh peribadi (Mungkin mereka kena lebih selalu dengar lagu P. Ramlee)

Mesra, Muafakat & Amanah adalah prinsip yang dipegang oleh Ketua Bahagian dan ingin diterapkan kepada semua. Namun manusia ini rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Tetapi kalau semua sayangkan parti, kita akan sanggup bersatu kembali. Umat Islam adalah bersaudara. Kita perlu merapatkan barisan bukannya keluar membuat bulatan...Umpama biduk lalu kiambang bertaut dan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

2. Isu Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahagian Tambahan /Penyelaras Mukim / Syed Man dan Sebagainya.

Sebagai seorang Ketua Bahagian, pelantikan sememangnya menjadi hak dan di bawah budi bicara beliau. Namun ia bukanlah dibuat berdasarkan emosi dan kepentingan peribadi. Semuanya dibuat atas kredibiliti dan dasar inginkan perpaduan dan kekuatan dalam parti. Tetapi biasalah... mana ada dalam dunia ini semua orang akan berpuas hati. Sedangkan Nabi kita Muhammad SAW yang paling kita kasihi pun dikutuk dan dikeji, inikan pula kita di zaman ini.

Tak payahlah marahkan Syed Man atau sesiapa sahaja. Kalau nak jumpa Dato’, tak payah tunggu dia datang kepada kita. Apa salahnya kita sendiri datang bertemu beliau. Sepanjang pengetahuan dan pengamatan saya, tidak pernah pula Syed Man pernah menghalang sesiapa daripada berjumpa Ketua Bahagian kita ini. Pokok pangkalnya hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

3. Isu tidak turun padan berjumpa ahli cawangan dan ketua cawangan ; atau pergi kenduri

Inilah yang menjadi masalah orang kita wahai saudara ku sekalian. Dalam dunia di era globalisasi dan dalam kita sudah kalah begini, kita masih lagi ingin meninggi diri. Kalau kita sayangkan parti, buanglah sikap yang buruk ini. Takkanlah semua orang Dato Latt nak kena pergi minum kopi sekali? Banyak sudah aktiviti yang dijalankan dalam beberapa bulan ini. Ketua Bahagian pun ada sekali tapi tak ramai yang ingin datang duduk bersama kami.

Kalau kita sayang kepada pemimpin, itulah pengorbanan yang perlu kita lakukan. Kalau pemimpin tak sempat nak datang berjumpa kita, kita pergilah berjumpa dengan pemimpin tersebut. Apa yang penting ialah matlamat dan objektif dan bukannya metodologi. Masalahnya bila dipanggil untuk aktiviti, masing-masing melarikan diri. Macam-macam alasan yang diberi.
Ingatlah wahai semua tuan empunya diri, pemimpin bukan hanya diukur melalui berapa banyak kenduri yang boleh dihadiri atau berapa banyak duit yang boleh diberi... Kita sudah dapat seorang pemimpin yang boleh membawa kita ke peringkat yang lebih tinggi dan ini menuntut pengorbanan daripada semua baik di peringkat tertinggi mahupun di akar umbi.

4. Isu kemenangan Dato’ Latt hanya kerana kedudukan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Perdana Menteri

Ini merupakan isu yang cukup menggelikan hati. Mungkin ia dibawa oleh orang yang telah ketandusan idea untuk diketengahkan. Bertanding Ketua Bahagian bukanlah seperti bertanding lumba lari atau lawan siapa pandai masak Maggi. Kemenangan adalah kehendak akar umbi. Semua ahli bertanggung jawab memilih Ketua yang mempunyai kredibiliti.

Saya percaya perwakilan yang memilih Dato’ Latt dalam pemilihan yang lalu, telah berfikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan. Kalau kedudukan dan berapa banyak wang yang boleh masuk ke poket sendiri yang jadi ukuran, itu jelas tidak menunjukkan kematangan diri. Dato Latt semestinya ada kekuatan dan keistimewaan sendiri. Janganlah kita terlalu cepat untuk menghukum tanpa memberi peluang untuk beliau membuktikan keupayaan diri. Jangan cepat sangat hendak melatah. Nilai dan pandang dengan isi hati yang suci dan bukannya dengan hasad atau dengki.

5. Isu Ketua Penerangan & Masalah dengan Pemuda

Memanglah kalau dibandingkan dengan mereka semua , siapalah saya ini. Saya dulu terlalu sibuk pergi mengaji berbanding mereka-mereka yang rajin turun ke akar umbi. Begitu juga mungkin saya cuma pandai sedikit dalam bidang jiwa dan psikologi. Tak seperti mereka yang begitu mendalami ilmu politik ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Marilah kita berganding bahu demi parti bukan bercakaran sesama sendiri. Kalau ingin mengenali diri ini, layarilah blog saya sendiri - http://pakar-jiwa-kmc.blogspot.com. Mungkin saya tak sempat nak update selalu ketika ini dek kerana asyik kena menjawab kritikan setiap hari.

Mungkin saya tidak mempunyai kaliber seperti yang dikehendaki namun saya rela menerima amanah ini demi parti. Memang diakui saya tidak mempunyai pengalaman politik di peringkat tertinggi tapi kalau orang seperti mereka boleh jadi penasihat peribadi, Insya Allah semuanya akan jadi cantik sekali...

Isu program yang disusun tanpa Ketua Bahagian bukanlah menjadi satu isu untuk perdebatan. Seorang Ketua yang baik dalam sesebuah organisasi tidak perlu membuat semuanya sendiri. Dia boleh 'delegate authority'.

Banyak program yang telah diatur dalam sebulan dua ini merupakan program 'ad hoc' yang dibuat demi kepentingan rakyat. Program Palestin contohnya dibuat kerana keprihatinan kita terhadap apa yang berlaku di bumi Gazza. Kalau semua nak tunggu kelulusan mensyuarat bahagian, maka akan perlahanlah dan terbantutlah segala aktiviti kita.

Ketua Bahagian sentiasa bersedia untuk turun padang bila-bila masa dan di mana jua. Tetapi tidak bermaksud kalau beliau tidak ada , program tidak boleh berjalan juga. Itulah yang dimaksudkan dengan 'delegating authority'. Beliau sentiasa peka dan tahu apa yang berlaku dalam bahagian. Mereka yang diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja Bahagian sudah tentulah yang dirasakan berkemampuan untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan berkesan. Seperti biasa kita amat mengharapkan para ahli semua untuk turun memberi sokongan.

Isu dengan pemuda sebenarnya tidak ada langsung. Cuma orang suka serkap jarang dan mencucuk jarum.... Hubungan Shafiq, Shahrun, Rozairi, Fauzi Penerangan dan semua orang kuat pemuda dengan saya macam biasa sahaja. Mereka saya umpamakan adik beradik dan saudara saya. Tugas saya adalah menyokong menyokong dan membantu mereka seberapa daya.

Seperti kata saya tadi, berbeza pendapat adalah lumrah di alam ini. Kalau tidak alamat hambarlah dunia ini. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting kejujuran dan keikhlasan dalam menghadapinya. Tidak pernah wujud retak yang menanti belah, tidak ada konflik besar yang perlu ditangani. Kalau benar pun ada perselisihan faham pada bila masa, ia boleh ditangani secara bersama. Ingatlah air di cincang tidak akan putus.

Saya selalu mengambil pendekatan yang mudah. Tegurlah saya kalau saya salah, bantulah saya kalau saya bermasalah. Buanglah saya kalau rasa saya menjadi liabiliti. Ingatkan saya jika saya telah telah lari atau menyimpang dari matlamat perjuangan agama, bangsa, negara dan parti.
Saya memasuki politik bukan untuk mencari musuh tetapi cuma ingin bersaudara dengan semua. UMNO dan Kerajaan telah banyak membantu saya hingga ke peringkat ini. Inilah masanya saya membalas budi. Saya tidak mempunyai harta yang berjuta tetapi bersedia menolong sekadar terdaya.

Saya tidak suka bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali ahli-ahli pemuda yang saya anggap sebagai adik-adik saya belaka. Kalau saya pernah melukakan hati sesiapa, ampun dan maaf saya pinta. Kalau ada yang merasa mereka telah bersalah kepada saya, saya bersedia memaafkan mereka semua pada bila-bila masa. Bukan hendak bermuka-muka tetapi itulah yang dituntut oleh agama.

Terima kasih sekali lagi di atas keprihatinan mereka semua kepada UMNO Bahagian Kuala Kedah. Kalau sudi, marilah kita minum kopi sekali. Boleh saya terangkan semuanya agar tidak ada lagi keraguan di hati. Mari kita bersama-sama membangunkan UMNO Kuala Kedah agar ia menjadi hebat kembali.

Wassalam,

Dr. Wan Mohd Rushidi Haji Wan Mahmud,
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Kedah

Saturday, January 24, 2009

Program Kesihatan & Ceramah HIV 24/1/09

UMNO Bahagian Kuala Kedah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke Program Kesihatan & Ceramah HIV / AIDS yang telah berlangsung pada hari ini. Lebih 300 orang termasuk kanak-kanak telah bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.
  • Ia dimulakan dengan peraduan mewarna yang melibatkan kanak-kanak TABIKA KEMAS daripada Telok Layang, Batas Paip dan Taman Bersatu I dan II.

  • Pemeriksaan Kesihatan mendapat sambutan hangat oleh semua tetamu yang hadir. Ia telah dijalankan dengan kerjasama Kedah Medical Centre & Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah. Pemeriksaan PAP Smear juga dijalankan – semuanya percuma.

  • Biro Bantuan Guaman Negeri Kedah juga hadir memberi penerangan mengenai perkhidmatan mereka

  • Pameran HIV/ AIDS dan dadah – mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar, Persatuan Perancang Keluarga dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kota Setar.

  • Dr Annuar Husainy daripada Pusat Rawatan Mahsuri yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah telah sudi memberi ceramah mengenai HIV/AIDS dan ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Maklum balas yang diterima banyak memuji ceramah kerana ia cukup informatif.

Acara perasmian penutup telah bermula bacaan doa oleh Tuan Haji Yusuf Bakar, Ketua UMNO Cawangan Batas Paip dan diikuti oleh ucapan aluan oleh Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Kuala Kedah merangkap Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Kedah, Encik Harisfadzillah Hussain. Perasmian Penutup kemudiannya telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Bahagian, Dato Latt Shariman sendiri.


Antara Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Kedah yang turut hadir termasuk Timbalan Ketua Bahagian , Yang Berbahagia Dato’ Jamil , Ketua Wanita , Puan Noor Hasita, Ketua Pemuda , Encik Shafiqurrahman , Yang Berbahagia Dato' Hajah Rokiah , Encik Che Dan, Tuan Haji Zul Ahmad Tarmizi, dan Encik Shahron Nizan Mohd Zain. Ramai lagi ahli jawatankuasa Wanita , Pemuda dan Puteri , serta Ketua UMNO Cawangan Batas Paip (Tuan Haji Yusuf), Kampung Hujung Telok Kechai (En Zailani) dan Pekan Telok Kechai (Paksu Shaari) turut bersama-sama di majlis tersebut.


Terima Kasih di atas Kerjasama dan Sokongan Anda Semua





Tuan Haji Ahmad Shafie - Setiausaha Bahagian dalam SINAR (24/1/2009) - U4

Friday, January 23, 2009

Program Ceramah Perdana di Masjid Kampung Teluk Bulang (22/1/09)



Program ini telah berlangsung pada 22/1/09 dan telah dihadiri oleh Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah , Yang Berbahagia Dato' Latt Shariman. Ceramah telah disampaikan oleh Dato' Sahlan Ismail, Setiusaha Politik Timbalan Perdana Menteri. Lebih 300 orang telah hadir pada malam tersebut.
Tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus bagi memastikan majlis tersebut berjalan dengan lancar.
* harap maaf kerana kualiti gambar agak kurang memuaskan.

Wednesday, January 21, 2009

Jemputan Ke Program Kesihatan & Ceramah HIV / AIDS


Perasmian Penutup
oleh
Yang Berbahagia Dato’ Latt Shariman Bin Abdullah
Pegawai Tugas - Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah
SABTU (24 JANUARI 2009)
8.00 PAGI – 1.00 TENGAH HARI

Anjuran
UMNO BAHAGIAN KUALA KEDAH
Dengan Kerjasama
KEMAS Parlimen Kuala Kedah, TABIKA KEMAS Kampung Telok Layang, Kedah Medical Centre, Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Kota Setar, Biro Penerangan dan Biro Pembangunan Insan UMNO Bahagian Kuala Kedah

PERADUAN MEWARNA – PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA – PEMERIKSAAN ‘PAP SMEAR’ PERCUMA – CERAMAH HIV / AIDS – PAMERAN MENGENAI HIV/AIDS & DADAH
SEMUA DIJEMPUT HADIR

Program Memasak Bubur Asyura Dapat Liputan Media - SINAR (21/1/09)


Program Memasak Asyura yang dilaporkan oleh Puan Zuraini baru-baru ini telah mendapat liputan media (SINAR 21/1/2009 - U4) - Tahniah !

Monday, January 19, 2009

Program Memasak Bubur Asyura di Kampung Alor Pulai

Laporan daripada Puan Zuraini Kamal (AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah)
Salam...

Baru-baru ini, pada 16 Januari 2009, penduduk Kampung Alor Pulai yang diketuai oleh Tuan Hj Saidin selaku Ketua UMNO Cawangan Alor Pulai merangkap Pengerusi JKKKP, telah mengadakan Program Memasak Bubur Asyura.

Ianya dilaksanakan secara gotong-royong!! Masyarakat setempat mengutip sumbangan dari kalangan kariah kampung untuk menjayakan majlis ini. Program bermula seawal jam 8 pagi dengan sarapan nasi lemak yang dimasak secara bergotong-royong.

Sebanyak 2 kawah Bubur Asyura berjaya dihasilkan dan kemudian di agihkan kepada seluruh penduduk setempat.

Zuraini kamal
AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah
** Lagi gambar dalam facebook UMNO Kuala Kedah

Sunday, January 18, 2009

Program 'Selamatkan Umat Islam Di Palestin' Dapat Perhatian Media


Program 'Selamatkan Umat Islam di Palestin' yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Kuala Kedah pada hari Jumat (16/1/09) yang lalu telah mendapat perhatian media - SINAR (18/1/09 : mukasurat U4)
Harapan kita semua ialah semoga doa dan usaha yang telah dijalankan itu dapat sedikit sebanyak membantu memberi lebih kekuatan kepada saudara kita di Palestin yang masih dizalimi oleh rejim Zionis yang tidak berhati perut itu. Dalam keadaan begini, semua sentimen politik perlu diketepikan. Umat Islam perlu bersatu padu demi memperjuangkan hak dan maruah saudara kita.
Marilah kita teruskan berdoa untuk mereka setiap hari dan setiap kali selepas sembahyang agar penyeksaan mereka berakhir dengan segera ...

Saturday, January 17, 2009

Barisan Nasional Tewas di Kuala Terengganu

Keputusan rasmi Pilihanraya P36 Kuala Terengganu
Calon PAS : 32883
Calon BN : 30252
Calon Bebas : 193
PAS Menang Majoriti : 2631

Nampaknya trend yang sama dengan Pilihanraya ke 12 masih berterusan di Kuala Terengganu. Walaupun ramai orang BN dari serata tempat turun membantu, namun kita masih tewas. Kenapa dan mengapa?
Mungkin kita semua boleh mengambil mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Kuala Terengganu. Muhasabah diri kembali. Kita nyata masih belum berjaya mengubah persepsi masyarakat kepada BN walaupun lebih 9 bulan telah berlalu. Juga kita gagal untuk mendapat sokongan bangsa lain.
Pengundi muda masih tidak tertarik kepada UMNO & BN. Corak kempen melalui pelbagai media utama nampaknya masih gagal meyakinkan pengundi. Begitu juga bermacam tawaran projek dan pembangunan.
Apabila semua pemimpin-pemimpin kita yang turun di Kuala Terengganu kembali ke Kuala Kedah, mungkin kita boleh membuat analisa tentang apa yang boleh dipelajari daripada kegagalan ini . Yang baik kita jadikan teladan dan yang tidak baik boleh dijadikan sempadan.
Kita masih ada masa untuk berubah. Namun hakikatnya perubahan perlu dilakukan segera. Bersatu kita teguh. Bercerai kita roboh.

Friday, January 16, 2009

Program Selamatkan Umat Islam di Palestin



Program 'Selamatkan Umat Islam di Palestin' telah berjalan dengan jayanya pada hari ini. Seramai lebih 500 - 600 jemaah telah hadir membanjiri Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Kedah.
Ia dimulakan dengan bacaan Khutbah Jumaat, diikuti Sembahyang Jumaat berserta Qunut Nazilah dan Bacaan Yasin yang diketuai oleh Tuan Syeikh Roslan Abdul Halim, Imam Besar Masjid Zahir.
Apa yang cukup menarik ialah majlis tersebut telah dihadiri oleh bukan sahaja ahli UMNO malah ia juga mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada ahli parti lain khususnya Pas. Ini cukup sesuai dengan prinsip Mesra, Muafakat dan Amanah yang diamalkan oleh UMNO Bahagian Kuala Kedah tanpa mengira aliran politik.
Semoga usaha kita semua tadi diberkati oleh Allah SWT, Insya Allah.

Thursday, January 15, 2009

Jangan Lupa Program 'Selamatkan Umat Islam di Palestin'

Jangan Lupa Program 'Selamatkan Umat Islam di Palestin'
Tempat
Masjid Tunku Abdul Rahman Putra , Kuala Kedah
Masa
1.00 petang - 3.00 petang
Aktiviti
Khutbah Khas , Sembahyang Jumaat dengan Qunut Nazilah & Bacaan Yasin
Imam
Tuan Syeikh Roslan Abdul Halim - Imam Besar Masjid Zahir
Semua Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir


Monday, January 12, 2009

Berita Melibatkan Ketua Bahagian - Petikan daripada The Star (11/1/2009)

Baca berita yang melibatkan Ketua Bahagian kita, Dato Latt Shariman dalam akhbar the Star semalam (11/1/2009) muka surat F26 atau di alamat berikut: http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/1/11/focus/2956302&sec=focus

Saturday, January 10, 2009

Program Bagi Membantah Kekejaman Israel & Mendoakan Keselamatan Umat Islam di Bumi Palestin




Seluruh warga UMNO Bahagian Kuala Kedah berasa cukup sedih dan terharu di atas apa yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang ini. Saban hari bedilan demi bedilan dari tentera Israel membunuh ratusan rakyat Palestin tanpa sebarang belas kasihan. Wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa kerakusan dan keangkuhan Israel yang terus bermaharajalela .
Apa yang telah terjadi ini menjadi satu pengajaran kepada kita semua umat Islam di muka bumi ini. Walaupun dunia Islam luas, mempunyai berbilion penganut dan kaya raya dengan minyak dan sebagainya, namun kita masih tidak dapat berbuat apa-apa bagi menentang rejim Zionis itu.
Banyak negara Islam terus membisu seribu bahasa, tidak mahu bersuara atau hanya menunggu orang lain memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Kebanyakan negara di bumi Arab takut kepada kekuasaan Amerika yang menjadi sekutu kuat kepada Israel. Mereka tidak mahu menjadi seperti Afghanistan dan Iraq yang hancur kerana menentang Amerika. Mereka lebih rela membiarkan saudara seagama menderita kerana takut kehilangan harta dan kekuasaan.
Walaupun kita negara yang kecil, namun pemimpin kita lebih lantang bersuara untuk menentang kezaliman Israel. Kita berani mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berbuat sesuatu. Kita mengajak negara-negara Islam untuk bersatu. Kita mendesak untuk memboikot produk Amerika dan mengurangkan penggunaan mata wang Amerika. Walaupun ini mungkin nampak kecil namun ia lebih baik dari mendakap tangan dan melihat sahaja kekejaman terus berlaku.
Bagi membantu rakyat Palestin, UMNO Bahagian Kuala Kedah bersedia untuk melakukan sesuatu untuk meringankan beban dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan mereka. Oleh itu satu program khas telah diatur dan akan dilaksanakan seperti yang tertera di bawah
Program Sembahyang Jumaat Berserta Qunut Nazilah & Bacaan Yasin di Masjid Putera (Baru) Kuala Kedah
Tarikh
16 Januari 2009 (Jumaat) – bermula jam 1 tengah hari – 3 petang
Aturcara
1. Sembahyang Jumaat dan Bacaan Qunut Nazilah ; serta Bacaan Yasin diketuai oleh Tuan Syeikh Roslan Bin Abdul Halim (Imam Besar Masjid Zahir, Alor Star, Kedah)
2. Demonstrasi secara aman menentang kezaliman Israel di bumi Palestin

Program ini akan diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dato’ Latt Shariman dan akan disertai oleh semua ahli jawatankuasa , ketua cawangan dan semua ahli UMNO Bahagian Kuala Kedah. Semua umat Islam dijemput hadir bagi menyatakan sokongan. Semoga usaha kita diberkati dan semoga doa kita dimakbulkan Allah.

Monday, January 5, 2009

Pengunjung Ke 900

Hari ini Blog UMNO Kuala Kedah telah merekodkan jumlah pengunjug yang ke 900. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat mengawal selia blog ini . Semoga tahun baru ini membawa lebih banyak kebaikan dan keberkatan kepada kita semua.

Saturday, January 3, 2009

Muhasabah Diri di Tahun Baru

Sempena tahun baru 2009, UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin berpesan kepada semua ahli UMNO khususnya dan kepada semua orang Melayu amnya untuk bersama-sama bermuhasabah dan menilai diri kita kembali. Setelah sekian lama kita hidup di muka bumi Allah ini, apakah sumbangan yang telah kita lakukan kepada agama, bangsa dan negara? Apakah keburukan kita? Apakah kelemahan kita ? Apakah kekurangan kita ? Di samping itu , nilai juga kebaikan , kekuatan dan kelebihan diri kita.

Seterusnya apa yang perlu dilakukan ialah memperbaiki apa yang boleh diperbaiki dan mengubah apa yang boleh diubah demi kebaikan kita bersama. Manusia sememangnya tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tetapi jangan jadikannya satu alasan untuk terus melakukan kesalahan yang sama secara berulang kali.

Orang yang bijak juga melakukan kesalahan tetapi mereka cepat belajar daripada kesalahan tersebut dan menggunakannya untuk memajukan diri sendiri di masa hadapan. Mereka juga menumpukan ke arah memaksimumkan kelebihan dan kekuatan diri ; dan meminimumkan impak yang mungkin timbul akibat kelemahan dan kekurangan yang sedia ada.

Dalam konteks yang sama, UMNO sendiri perlu belajar daripada kesilapan yang lalu. Tiada salah membuat post-mortem dan sebagainya sebagai suatu bentuk muhasabah diri namun apa yang lebih penting ialah apakah kita menggunakan hasil yang diperoleh daripada proses tersebut dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan ? Kita harus belajar daripada kesalahan dan berusaha untuk tidak mengulanginya di masa hadapan. Itulah jalan yang terbaik dan digalakkan oleh agama.

Ramai berpendapat bahawa di sebalik semua post-mortem yang telah dilakukan, UMNO masih takuk yang lama. Masih dengan sikap yang lama, dan selesa dengan cara yang sama. “Ini tradisi UMNO” kata mereka. Tidak perlu diubah dan tidak perlu diganggu. Kekalahan UMNO di pilihan raya umum yang baru lalu bukanlah salah UMNO atau salah tradisi UMNO, tetapi salah orang lain. Itulah sikap buruk kita , suka menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.

Orang Melayu umumnya juga begitu sifatnya. Kita tidak pernah mahu mengaku salah atau menilai diri dengan jujur. Salahkan orang lain memang mudah. Tetapi ingat, menuding satu jari kepada orang lain, empat jari lain menuding ke arah kita sendiri. Kita malas berusaha, kita banyak meminta dan kita mahukan semuanya dengan segera tanpa perlu mengangkat tangan atau mengeluarkan peluh untuk mencapai impian kita.

Lihatlah masyarakat kita sekarang. Orang Melayu ingin terus menjadi tuan tetapi hakikatnya kita lebih banyak menjadi kuda tunggangan orang lain. Kita suka meminta tapi kita malas berusaha.

Budaya subsidi menjadi kebanggaan kita. Semua harus diberi oleh kerajaan. Kalau boleh, kita mahu bangun pagi dengan semuanya tersedia di hadapan mata. Kita mahu menjadi raja di bumi sendiri. Orang lain perlu menghormati kita. Pemimpin dan kerajaan kita harus menyara kita dan anak-anak kita kerana kita adalah tuan.

Ramai dari kita masih enak dibuai mimpi. Masih ramai yang sengaja membutakan mata dan menulikan telinga. Biarlah apa yang orang lain lakukan, asalkan perut kita kenyang dengan subsidi dan wang pemberian yang tidak seberapa. Berilah duit kopi sedikit, semuanya boleh diterima. Kita masih boleh tersenyum walaupun hakikatnya kita semakin hilang hak dan maruah bangsa...

Dengki mendengki sesama sendiri juga tidak terkecuali. Kita sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan orang lain gagal mendapat perkara yang sama. Kita tidak mahu orang Melayu lain sama-sama berjaya.

Biarlah mereka menderita asalkan kita bahagia. Biarlah bangsa kita mundur asalkan kita sendiri kaya raya. Pijaklah kepala orang lain demi untuk mencapai cita-cita dan matlamat kita. Taburkanlah fitnah supaya orang lain dicaci dan dihina , serta kita terus dipuja. Agama bukan lagi menjadi pedoman tetapi hanya dianggap sebagai warisan semata-mata.

UMNO Bahagian Kuala Kedah ingin merayu kepada semua anak bangsa baik di mana sahaja anda berada. Ubahlah sikap dan pemikiran kita semua. Marilah kita sama-sama bergabung tenaga kebaikan kita bersama. Insya Allah, semoga Allah SWT akan turut memberkati usaha dan pengorbanan kita.

Bersatu Kita Teguh , Bercerai Kita Roboh.

Thursday, January 1, 2009

Mangsa Kebakaran Telah Mendapat Rumah

UMNO Bahagian Kuala Kedah telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah menyampaikan kunci rumah kepada semua mangsa kebakaran di Kuala Kedah semalam.
Walaupun PAS mengecam tindakan Pemuda UMNO mengadakan sidang media tempoh hari dan menganggap ianya mainan politik, namun hakikatnya UMNO Bahagian telah berjaya memperjuangkan nasib mangsa-mangsa tersebut.
Tanpa sidang media dan langkah drastik tersebut mungkin hingga kini, mereka masih tidak mendapat pembelaan dan terus menderita di tempat penempatan sementara... Peranan yang dimainkan oleh Ketua Bahagian & semua AJK yang terlibat selama ini juga harus diiktiraf dan dihargai kerana walau pun UMNO tidak lagi berkuasa di Kedah, namun kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Kepada semua warga UMNO Bahagian, jangan bimbang dan jangan takut. Berani kerana benar. Takut kerana salah. Kalau kita di pihak yang benar, Insya Allah, segala usaha akan diberkati dan dirahmati.

Selamat Tahun Baru 2009

Tahun baru, semangat baru , azam baru. Jadikan tahun 2009 sebagai tahun yang gemilang untuk UMNO Kuala Kedah.